Kejadian itu disedari pemilik kucing berkenaan kira-kira pukul 2.30 petang sebaik pulang ke rumah selepas berniaga.

Pemilik yang ingin dikenali sebagai Asrul itu berkata, pada mulanya dia menyangkakan kucing yang dibela sejak tiga tahun lalu mati disebabkan racun, namun terkejut sebaik jiran menunjukkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mengenai perbuatan kejam lelaki terbabit. 

Katanya, hasil pemeriksaan daripada CCTV itu mendapati seorang lelaki memegang kucing tersebut sebelum mengikat leher haiwan itu dengan tali dan menggantungnya di tangga.

“Berdasarkan rakaman CCTV itu, lelaki berkenaan gagal mengikat leher kucing itu sebelum dia mengejarnya dan mengikat kali kedua pada leher haiwan itu sehingga mati dijerut,” katanya yang membuat laporan polis berhubung kejadian di Balai Polis Wangsa Maju.

Menurutnya lagi, ini merupakan kejadian pertama di kawasan pangsapuri berkenaan dan lelaki terbabit tidak kelihatan seperti penghuni pangsapuri tersebut.

“Saya serahkan kepada pihak polis untuk menyiasat kes ini dan saya harap pelakunya ditahan dan dikenakan hukuman setimpal supaya ia menjadi pengajaran kepada orang lain agar tidak memperlakukan haiwan sedemikian,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Muhammad Najib Hamzah mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan,” katanya. - K! ONLINE