Kejadian kira-kira pukul 6.20 petang itu berlaku apabila suspek berusia 35 tahun dikatakan mengamuk selepas tidak diberikan wang untuk membeli dadah.

Lebih mencemaskan apabila suspek turut mengacukan sebilah pisau pada leher kanak-kanak terbabit sebelum membawanya masuk ke dalam bilik air.

Mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan polis kira-kira pukul 11.45 malam semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek dikatakan datang ke rumah tersebut untuk meminta wang tetapi abang iparnya enggan memenuhi permintaan lelaki itu.

"Suspek yang berang bertindak mengacu pisau pada leher anak saudara perempuannya sebelum melarikan mangsa ke dalam bilik air," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata beliau, polis yang mendapat maklumat berhubung kejadian terus ke lokasi dan memujuk suspek untuk menyerah diri, namun suspek enggan.

"Suspek kemudian meminta motosikal untuk melarikan diri dan kita berjaya menahannya ketika dia  bersama mangsa keluar dari pintu belakang rumah menuju ke motosikal tersebut," ujarnya.

Tambahnya, kanak-kanak terbabit yang didapati dalam keadaan lemah dan mengalami sedikit kecederaan pada leher dikejarkan ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan.

"Suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaaan membunuh," katanya. - K! ONLINE