Kejadian pada pukul 4.15 petang itu menyebabkan mangsa yang dikenali sebagai Junaedi, 40, mengalami kecederaan parah telah dihantar ke Hospital Kuala Krai.

Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital berkenaan pada pukul 6.30 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa yang sedang memandu traktor itu dalam perjalanan ke ladang sawit.

Katanya, semasa tiba di tempat kejadian, traktor yang dipandu lelaki itu telah hilang kawalan sebelum terbalik.

“Mangsa dipercayai cuba terjun dari traktor untuk menyelamatkan diri, namun kenderaan tersebut menghempapnya sewaktu dia jatuh.

"Mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan anggota badan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Kuala Krai," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohd. Taufik, mayat mangsa turut dibedah siasat di hospital sama sebelum diserahkan kepada waris dan pihak kedutaan Indonesia.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE