Modus operandi tersebut terbongkar selepas seorang lelaki warga Indonesia diberkas dalam serbuan di sebuah hotel bajet di Pelabuhan Klang di sini kelmarin. 

Penahanan suspek berusia 33 tahun itu dilakukan kira-kira pukul 9 pagi oleh sepasukan anggota dan pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Klang Selatan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, berdasarkan risikan dan maklumat suspek memasuki negara ini sejak 18 April lalu dengan menggunakan pas lawatan sosial. 

Katanya, semasa serbuan dilakukan didapati pihaknya merampas kira-kira 8.2 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM576,000 dalam lapan bungkusan teh Cina.

"Kita percaya suspek memasuki negara ini bagi mendapatkan bekalan dadah untuk pasaran negaranya.

"Ini berikutan harga syabu di negara republik itu adalah tiga kali ganda lebih tinggi daripada pasaran tempatan iaitu sekitar RM70,000 sekilogram,"katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. 

Shamsul Amar menambah, siasatan lanjut masih dijalankan sama ada suspek mempunyai rangkaian dalam sindiket penyeludupan dadah tempatan atau antarabangsa.

Ujarnya, polis juga masih mengenal pasti sumber bekalan syabu itu sama ada ia dari negara ini ataupun dari luar.
  
"Namun, kita percaya negara ini dijadikan sebagai transit dan dadah itu mahu diseludup keluar suspek ke Indonesia," katanya.

Jelas beliau, suspek kini direman sehingga 30 April depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - K! ONLINE