Lelaki berusia 24 tahun itu ditahan di sebuah kawasan di Johor Bahru kira-kira pukul 3.40 pagi oleh sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, penahanan lelaki tersebut dibuat selepas pihaknya menerima satu laporan polis pada Khamis lalu.

"Selepas kita menerima laporan berkaitan video yang tular di laman sosial berkaitan seorang lelaki menghina agama Islam, kita berjaya menahan lelaki berkenaan di sebuah kawasan di Johor Bahru pagi tadi (semalam).

"Hasil semakan kita mendapati lelaki yang berasal dari Kedah itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Fadzil berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menimbulkan keresahan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan.

Klip video berdurasi 2 minit 35 saat memaparkan rakaman lelaki terbabit yang dipercayai ‘membahaskan’ tentang ketidakpuasan hatinya terhadap Melayu dan Islam. - K! ONLINE