Pepatah itu sesuai digunakan untuk menggambarkan ujian hidup yang dihadapi pembantu operasi di pengurusan sumber manusia sebuah kementerian di sini, Nor Azri Nor Azlan, 44, apabila di­sahkan menghidap 15 jenis penyakit sejak lima tahun lalu.

Cerita Nor Azri, dalam keadaan dia terpaksa ‘berperang’ untuk melawan pe­nyakitnya, dia perlu menyara dua anak­nya, Azrizal, 14, dan Natasha Edreyana, 13, sejak isterinya meninggal dunia 12 tahun lalu.

Katanya, antara penyakit yang dihadapinya sejak 2014 termasuk jantung, strok, gout, buah pinggang, hilang darah, kulit dan katarak.

“Dalam keadaan sakit, saya masih be­kerja meskipun pergerakan saya terbatas dan terpaksa bergantung kepada tongkat dan duduk di atas kerusi roda ketika di rumah.

“Gaji saya pernah disekat selama setahun kerana lambat mengemukakan sijil cuti sakit. Saya juga diisytiharkan ­muflis oleh Jabatan Insolvensi kerana tidak membayar beberapa pinjaman bank,” ceritanya ketika ditemui di rumahnya di Presint 9 di sini baru-baru ini.

Tambahnya, sepanjang tempoh itu, dia tiada punca pendapatan dan pada masa sama perlu ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Hanya Tuhan yang tahu bagaimana saya menanggung derita ketika itu. Mujur dua anak saya ada dan mereka merupakan sumber kekuatan saya,” katanya yang berasal dari Butterworth, Pulau Pinang.

Menurut Nor Azri, ketika gajinya di­sekat, dia hanya bergantung kepada bantuan Baitulmal sebanyak RM450 sebulan, pencen penakat arwah isterinya dan ihsan jiran.

“Walaupun kini saya sudah mendapat sedikit pampasan gaji namun kesan dari­pada insiden itu merupakan salah satu faktor kesihatan saya semakin merosot,” katanya.

Jelasnya, pada awal Ramadan lalu, dia telah menjalani pembedahan matanya untuk merawat katarak di Hospital Putra­jaya dan telah mendapat cuti sakit selama sebulan.

Orang ramai yang ingin meringankan beban Nor Azri diminta menghubungi­nya di talian 011-5664 4116 atau salurkan bantuan ke akaun Bank CIMB Nor Azri, 7627 0689 89.

Ikuti berita selanjutnya di akhbar KOSMO! hari ini.