Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang tersebut, suspek berusia 50 tahun ditangkap selepas disyaki menyamun seorang lelaki di kaki lima di Jalan Cole Adam dekat sini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek telah menyamun wang tunai sebanyak RM2,000 dengan mengacukan sebatang kayu tajam sepanjang 36 sentimeter ke arah mangsa.

“Difahamkan, sebelum melarikan diri menuju ke kawasan bandar, suspek mengacukan senjata tajam berwarna hitam menyerupai pisau terhadap mangsa dan mengambil wang tunai sebanyak RM2,000.

“Bertindak atas maklumat, pasukan polis yang sedang menjalankan rondaan di kawasan tersebut bertindak mengejar dan menangkap suspek kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian,” katanya hari ini.

Tambah Fadil, susulan tangkapan itu polis merampas wang tunai berjumlah RM400 dan sebatang kayu tajam yang dipercayai digunakan suspek  ketika menyamun mangsa.

“Bagaimanapun, baki wang mangsa masih dikesan kerana suspek disyaki membuangnya semasa dikejar pihak polis,” jelasnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE