Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, Azman Jusoh, 44, dari Bandar Putra di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada pukul 8.53 pagi.

Katanya, pihak polis menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan keadaan lelaki berkenaan sebelum seorang pegawai dan dua anggota dari Balai Polis Kuantan dikejarkan ke lokasi.

"Saksi di tempat kejadian mengatakan ternampak mangsa dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri di tepi tasik.

"Pemeriksaan ke atas mangsa mendapati dia telah meninggal dunia dan dibawa ke bilik forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan bagi tujuan bedah siasat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah pada jasad mangsa dan punca kematian kini dalam siasatan. - Bernama