Mangsa, E. Muniandy, 53, (gambar) dari Kajang, Selangor ditemui kira-kira pukul 8.15 malam oleh seorang pekerja motel dalam keadaan mengiring ke lantai dengan lehernya terjerut dengan wayar.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abd. Hamid berkata, pekerja motel terbabit dikatakan terdengar bunyi pergaduhan dari bilik mangsa kira-kira pukul 8 malam sebelum ternampak dua lelaki keluar dengan membiarkan pintu bilik terbuka.

“Mangsa ketika ditemui masih bernyawa namun terdapat kesan luka pada badan akibat ditikam de­ngan senjata tajam. Dia bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Kata beliau, mangsa turut dipercayai cuba digantung berdasarkan penemuan wayar putus yang masih terbelit pada leher mangsa dan sebahagian lagi wayar tergantung di dalam bilik mandi.

Menurut Saifi, mangsa yang tidak mempunyai pekerjaan tetap mendaftar masuk ke bilik motel di tingkat dua itu bersama dua lelaki pada pukul 6.10 petang kelmarin.

“Kita menahan dua lelaki terbabit yang berusia lingkungan 20-an di kawasan perumahan berdekatan bagi membantu siasatan,” ujarnya.