Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa yang berusia 56 tahun mendakwa diajak menyertai pelaburan itu oleh seorang lelaki yang dikenalinya pada 22 Januari lepas.

Katanya, lelaki yang dikenali menerusi pelaburan e-dagang itu telah memperkenalkan mangsa dengan seorang wanita yang kononnya pengurus kepada pelaburan yang mahu disertainya.

"Setelah mendengar penerangan mengenai pelaburan itu, mangsa bersetuju memasukkan duit sebanyak RM220 ke dalam akaun yang diberi suspek sebagai bahagian pelaburannya.

"Mangsa kemudiannya menambah jumlah pelaburan dengan melakukan 14 transaksi wang yang akhirnya berjumlah RM23,290," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd. Wazir berkata, mangsa bagaimanapun tidak pernah menerima pulangan pelaburan sebaliknya hanya diberi komisyen RM700, yang didepositkan ke akaun peribadinya.

Tidak berpuas hati, mangsa cuba menghubungi kedua-dua suspek, namun gagal dan menyedari diri ditipu.

Mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub semalam.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan. - Bernama