Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Ali Thamby berkata, cawangan siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh telah memberkas lelaki berusia 42 tahun di hadapan kilang tersebut pada Isnin lalu.

Jelasnya, susulan penangkapan suspek yang bekerja di kilang elektronik itu, polis telah menyerbu rumahnya di Bandar Seri Botani dekat sini.

“Hasil pemeriksaan di rumah itu, polis merampas sebuah tablet dan tiga keping resit transaksi jual beli di sebuah kedai telefon di Jalan Kampar dekat sini.

“Selepas penahanan suspek, teman wanitanya yang berusia 30 tahun yang tinggal bersama lelaki itu telah datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh dan menyerahkan tujuh buah tablet jenama Acer Aspire yang dipercayai dicuri oleh suspek.

“Wanita itu telah ditahan pada Isnin lalu sebelum dilepaskan semalam apabila mendapati dia tidak terlibat dalam sebarang kes kecurian dan hanya menyerahkan tablet itu kepada pihak polis,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Menurut Ali Thamby, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan telah ditahan reman selama empat hari bermula Selasa hingga esok untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan. - K! ONLINE