Suspek ditahan dalam serbuan Ops Sepadu kira-kira pukul 11.45 malam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, sepasukan anggota membuat pemeriksaan ke atas rumah suspek dan menemui selaras senjata buatan sendiri menyerupai senapang.

"Hasil siasatan awal, lelaki itu mengaku senjata tersebut miliknya dan turut mengaku membuatnya sendiri dengan meniru cara pembuatan senjata berkenaan menerusi YouTube," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, suspek yang mempunyai rekod jenayah berkaitan kes ugutan jenayah disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960.

Sementara itu, menurut Mohd. Iqbal, pihaknya turut menahan seorang lagi lelaki berusia 33 tahun kerana memiliki peluru yang diubah suai menjadi rantai kunci di sebuah rumah di Kampung Padang Lalang, Ayer Hangat di sini kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi.

"Pemeriksaan yang dilakukan di dalam bilik suspek menemui sebutir peluru yang telah diubah suai menjadi rantai kunci.

"Hasil siasatan awal, suspek mengaku rantai kunci peluru itu miliknya dan ia dibeli semasa suspek melancong ke Hatyai, Thailand," ujarnya.

Tambahnya, suspek yang didapati positif dadah ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. - K! ONLINE