Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, kejadian tersebut melibatkan penerbangan dari Langkawi menuju ke Subang pada pukul 9.40 malam.

“Kejadian itu bermula apabila lelaki warga tempatan berusia 23 tahun itu ditegur oleh pengadu yang juga pramugari kerana melihat dia meminum cecair berwarna kuning di dalam botol plastik yang dipercayai adalah minuman keras.

“Pengadu telah menegur penumpang itu tetapi tidak dipedulikan oleh suspek dan terus meminum minuman itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Zani menambah, kira-kira pukul 10.50 malam ketika pesawat itu hendak mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS), lelaki itu membuat kacau dan memanggil pengadu.

“Dia mula membaling botol air mineral kosong terhadap pengadu tetapi tidak mengena.

“Semasa pesawat menghampiri kawasan parkir, dia juga telah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadu,” ujarnya.

Menurutnya lagi, setelah pesawat berhenti dan semua penumpang turun, ketua pramugari meminta bantuan pengawal keselamatan untuk membawa lelaki tersebut ke balai polis sebelum membuat laporan.

“Hasil semakan mendapati, suspek yang berasal dari Ampang, Selangor itu mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kes curi mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

“Polis turut merampas satu botol air mineral berisi cecair kuning disyaki arak dan tiket penerbangan Langkawi ke Subang milik suspek,” katanya. - K! ONLINE