Abdul Rani Md. Sarif, 56, yang berada di kandang tertuduh dilihat tercungap-cungap selepas mendengar keputusan tersebut sebelum diminta duduk oleh Majistret.

Majistret Norina Maludin menjatuhkan hukuman itu selepas Abdul Rani dari Tanjong Karang, Selangor mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang  dihadapinya.

Mengikut pertuduhan pertama, Abdul Rani  didakwa menipu seorang wanita berusia 29 tahun dengan menawarkan penjualan telefon bimbit jenis Nokia N95 tidak wujud sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan wang sebanyak RM200. 

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang mempunyai 18 rekod jenayah didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda.

Abdul Rani juga didakwa menipu mangsa yang sama dengan menyamar sebagai pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini sehingga mendorong wanita itu mempercayai tawaran barang lelongan tersebut wujud. 

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. 

Kedua-dua kesalahan tersebut dilakukan oleh tertuduh di Hospital Pantai, Ayer Keroh di sini pada pukul 10.30 pagi, 26 September 2008. 

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara masing-masing 20 bulan dan 12 bulan bagi setiap pertuduhan. Hukuman tersebut diarahkan berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 7 November lalu. - K! ONLINE