Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata lelaki itu dihantar orang awam ke Jabatan Kecemasan Hospital Sik pada 4.20 petang setelah menemui mangsa yang bersendirian mengerang dan berguling dalam kesakitan di tepi jalan. 

"Berdasarkan maklumat pesakit, sebelum kejadian dia sedang memegang empat biji mercun bola dengan tangan kiri sambil menghisap rokok dan tanpa sengaja ternyalakan sumbu mercun dan menyebabkan letupan.

"Sebaik tiba di Hospital Sik, rawatan kecemasan segera diberikan bagi meredakan kesakitannya. Pemeriksaan mendapati beliau dalam keadaan stabil," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr. Norhizan berkata, jari manis dan jari kelingking pada tangan kiri mangsa luka teruk dan ujian x-ray menunjukkan tulang jari itu turut patah.

"Pihak Hospital Sik turut mendapatkan bantuan pihak bomba bagi menanggalkan cincin dari jarinya. Pemeriksaan juga mendapati kesan terbakar pada dadanya. Mangsa telah dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani pada 8 malam tadi untuk rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini dari pemantauan pihaknya mendapati kes itu merupakan yang pertama berlaku di Kedah bagi Ramadan kali ini. - Bernama