Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, polis Seremban telah menerima laporan berhubung kejadian itu yang dibuat oleh lelaki tersebut petang semalam.

"Lelaki itu mendakwa pada 1 Januari lalu dia menemui seekor anjingnya mati di lorong belakang rumahnya. 

"Dia kemudian menemui dua lagi anjing mati berdekatan dengan rumahnya antara 1 hingga 4 Januari lalu.

"Dia mengesyaki anjing peliharaannya dan dua ekor anjing lain yang ditemui mati itu diracun oleh individu tertentu," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Hock Poh berkata, siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan membunuh atau mencacatkan haiwan. 

Insiden itu tular di media sosial sejak semalam dan seorang pencinta haiwan di ibu negara turut membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan di Gombak. 

Kejadian tersebut mendapat perhatian Pertubuhan Kebajikan Haiwan Malaysia (MAWA) yang mengkritik pelaku kejadian tersebut.

Pengasasnya, S.Mukunnan ketika dihubungi pemberita berkata, orang ramai perlu diberi kesedaran bahawa mereka boleh didakwa jika membunuh haiwan termasuk kucing atau anjing. - K! ONLINE