Seramai 10 orang penduduk bersama-sama empat anggota polis telah menurunkan jenazah, Khairul Hazalizam Jamaluddin, 38, dari rumah pangsa saudaranya di tingkat satu itu bagi membolehkan mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat. 

Allahyarham dikatakan meninggal dunia ketika sedang tidur dan kejadian disedari ibu saudaranya kira-kira pukul 10 malam apabila tidak mendengar dengkuran lelaki itu seperti biasa. 

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kematian mangsa disahkan oleh penolong pegawai perubatan Hospital Melaka yang tiba di rumah berkenaan kira-kira pukul 12 tengah malam. 

"Adik perempuan mangsa berusia 22 tahun telah datang ke rumah tersebut kira-kira pukul 11.40 malam untuk memeriksa keadaan abangnya dan terus membuat panggilan ambulans sejurus mendapati lelaki itu tidak sedarkan diri. 

"Mangsa yang bekerja sebagai pegawal keselamatan bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia oleh penolong pegawai perubatan," katanya. 

Katanya, hasil maklumat awal, mangsa dikatakan telah mengalami demam panas sejak tujuh hari lalu. 

Sementara itu, ibu mangsa, Halijah Yusoff, 64, berkata, walaupun menghadapi masalah berat badan berlebihan seberat 170 kilogram, anaknya itu tidak mengidap penyakit lain kecuali mengalami demam panas sejak beberapa hari lalu.

"Arwah memang tidak mempunyai penyakit lain seperti kencing manis atau darah tinggi tetapi malam tadi sebelum tidur dia ada mengadu masih demam, namun tidak mahu ke klinik," katanya. 

Afzanizar berkata, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - K! ONLINE