Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nor Yhazid Idris berkata, suspek berusia 32 tahun itu ditahan pada pukul 6.24 petang di pekarangan Balai Polis Merlimau, di sini semalam.

Katanya, tangkapan dibuat sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan D11 telah ke pekarangan Balai Polis Merlimau dan menahan seorang lelaki warga Bangladesh yang dipercayai terlibat dalam kes mencabul seorang juru X-ray di sebuah klinik swasta baru-baru ini.

"Hasil rakaman percakapan, suspek yang bekerja di sebuah kilang di sini bagaimanapun mengaku tidak terlibat dalam kes tersebut dan ditahan di lokap IPD Jasin," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Nor Yhazid berkata, suspek tersebut telah diberikan perintah reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, media pada minggu lalu melaporkan, polis memburu seorang suspek warga asing selepas didakwa telah mencabul seorang wanita juru X-ray berusia 22 tahun di sebuah poliklinik di Taman Muhibah, Merlimau.

Suspek didakwa dengan sengaja telah mencabul mangsa berulang kali ketika menjalani rawatan Fomema dan enggan keluar dari bilik rawatan tersebut. - K! ONLINE