Pelli membesar di Argentina dan menuntut dalam jurusan seni bina di Universiti Tucuman di negara itu sebelum mengukir nama di Amerika Syarikat.

Selain Menara Berkembar Petronas, hasil ciptaan Pelli yang lain termasuklah Pusat Kewangan Dunia di New York, Menara Canary Wharf di London dan projek mengubah suai Muzium Seni Moden New York.

Sungguhpun begitu, Pelli mengakui Menara Berkembar Petronas yang mendominasi langit Kuala Lumpur adalah antara rekaan terbaik yang pernah beliau hasilkan. Ia umpama karya agung dunia seni bina. Setinggi 452 meter (m), menara ini mempunyai 88 tingkat dengan kira-kira 10,000 orang tinggal dan bekerja di dalamnya.

Namun, setiap perkara yang hebat hanya dicetuskan oleh manusia yang hebat juga. Harganya pula tentulah mahal. Idea luar biasa itu dicetuskan Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri keempat. Ketika itu, tiada negara di dunia yang dapat menandingi dan mencabar Amerika Syarikat dari segi menara pencakar langit.

“Daripada lima negara Asia Tenggara, Malaysia me­rupakan negara yang paling kurang dikenali. Jadi untuk memberitahu dunia bahawa kami di sini, kami perlukan sesuatu yang menakjubkan dan saya rasa menara tinggi boleh memberikan jawapan itu,” kata Dr. Mahathir.

Idea berkenaan belum pernah difikirkan orang sebelum itu tetapi berjaya direalisasikan Dr. Mahathir de­ngan Pelli sebagai arkiteknya. Pelli berusaha menerapkan seni bina Islam sesuai dengan status Islam sebagai agama rasmi Malaysia.

“Saya menelaah setiap buku seni bina Islam, setiap keluaran. Kami ada timbunan buku tersebut. Tetapi bagaimana hendak menukarkan semuanya kepada menara pencakar langit?” kata Pelli.

Pada mulanya, rekaan asal adalah menara berbentuk segi empat sama, tetapi Dr. Mahathir memberikan idea supaya ia menjadi menara berbucu lapan.

Pelli kemudian menambah beberapa lagi idea dan sudut, menjadikan rekaan Menara Berkempar Petronas sangat unik dan tidak ada pada menara tinggi lain.

Menara Berkembar Petronas diiktiraf sebagai bangun­an ter­tinggi di dunia antara 1998 hingga 2004 dan kekal sebagai menara berkembar paling tinggi sehingga kini. Bangunan paling tinggi di dunia sekarang milik Burj Khalifa di Dubai iaitu setinggi 828m.

Bagaimanapun, si pencakar langit KLCC hanyalah permulaan. Sebuah lagi bangunan gergasi di ibu negara, Menara Exchange 106 (492m) sudah hampir siap, begitu juga Menara PNB 118 (682m). Sebuah lagi menara dikenali sebagai Tower M (700m) dilaporkan bakal dibina.

Secara umum, bangunan pencakar langit melambangkan kehebatan ekonomi sesebuah bandar raya selain simbol keunggulan sosial dan budaya.

Negara yang memiliki bangunan pencakar langit akan meraih populariti sekali gus dikenali di seluruh dunia. Oleh sebab itu, banyak negara besar berlumba-lumba membina bangunan tinggi bagi menonjolkan kehebatan masing-masing.

Kajian agensi antarabangsa yang memberi ukuran rasmi ketinggian bangunan iaitu The Council on Tall Buildings and Urban Habitat mendapati sebanyak 200 bangunan pencakar langit dengan ketinggian lebih 300 meter dibina di seluruh dunia pada tahun 2019. Daripada jumlah itu, 100 berada di China.

Ironinya, perlumbaan membina bangunan tinggi tidak akan terhenti sehingga penghujung usia dunia, sesuai dengan hadis Nabi Muhammad SAW: “Hari kiamat tidak akan tiba sehingga manusia berlumba-lumba membuat bangunan yang tinggi.” – (Riwayat Bukhari)