Dua judul berkenaan pula mencetuskan fenomena, jadi alangkah bagusnya jika sekecil-kecil mesej yang mahu diselitkan si pembikin terhadam oleh khalayak secara meluas.

Satu pihak berpendapat, jika bukan pengkarya Muslim yang memberitahu dunia, mengangkat dan meletak­kan agama di tempat tertinggi, siapa lagi yang hendak diharapkan.

Klise namun luahan sebegitulah yang sentiasa disuarakan setiap kali berbangkitnya isu serupa. Sekarang, biarpun pun belum disiarkan, telefilem Demi Tuhan Aku Bersaksi arahan Eyra Rahman awal-awal menjadi topik bual keras segelintir pemerhati, peminat dan karyawan dunia sinema tanah air. Drama tersebut dikatakan mempromosi aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di sekolah tahfiz.

Secara nakalnya, terima kasih kepada Syafie Naswip untuk berita pukul bekas tunang akibat berang dituduh berhubungan sejenis sehingga jadi kes polis baru-baru ini.

Kebetulan, Syafie merupakan pembawa watak diliwat dalam drama berkenaan. Jadi, bertambahlah nilai sensasinya.

Lebih dramatik, muncul pula gerakan penyebaran petisyen menerusi WhatsApp agar drama berkenaan diharamkan.

Di Malaysia ketika ini, ada tiga perkara yang tersangat sensitif iaitu agama, kaum dan bahasa. Cuit sahaja mana-mana tiga perkara tersebut dengan topik tidak enak, maka berkokoklah warga yang prihatin sehinggalah pihak berwajib mula bersuara.

Dari satu segi yang lain, Demi Tuhan Aku Bersaksi sekadar muncul pada waktu dan ruang yang salah. Muncul ketika isu persemburitan dunia politik sedang memanas dan persemburitan juga sebagai asbab Syafie putus tunang, tidak hairanlah drama tersebut mudah tular, apatah lagi netizen memang gemarkan kecaman.

Provokasi yang tercetus boleh dikatakan sebagai lava yang telah sedia menggelegak dalam minda ramai.

Secara peribadi, membaca kecaman dan bayangan impak negatif kisah hubungan songsang dalam Demi Tuhan Aku Bersaksi, kemudian terheret memasuki analogi seni serta agenda Yahudi dalam filem-filem Barat sedia ada, membuatkan penulis berasa terpukul. Aduhai, tololnya orang seni kerana membenarkan kesucian salah satu institusi yang melahirkan golongan agamawan terpalit lumpur hitam.

Jika benar mereka semua tolol, kenapa pula ketololan tersebut terus berleluasa seolah-olah semua pihak termasuk pembuat keputusan di sebuah stesen penyiar seperti RTM juga tolol? Dari satu persepsi lain pula, adakah karya kreatif waima drama, teater, filem haruslah mempamerkan hal yang baik belaka, manakala keburukan dan kemunafikan harus ditutup, walhal kes tidak bermoral wujud di mana sahaja.

Saya tidak cuba bercakap tentang lesen kreatif, kebebasan berkarya, keterbukaan atau liberalisasi. Namun, dari sudut lain, terfikir juga bukankah pembuktian kejahatan juga bermaksud sebuah penyucian. Untuk adil, kalau pendedahan korupsi dan sifat manusia polis dalam filem One Two Jaga dapat pelepasan Lembaga Penapisan Filem, penilaian sewajar harus diberikan buat Demi Tuhan Aku Bersaksi. Sekiranya benar, pembikin, penyiar dan penceritaannya bodoh dan tolol, kritikan berjemaah sangatlah dialu-alukan.