Beliau berkata, keluasan tersebut merangkumi 105,751.06 hektar di bawah 56 kelompok pekebun kecil tersusun yang dikendalikan oleh agensi-agensi kerajaan seperti FELDA, FELCRA, SALCRA, SLDB dan sebagainya dan 12,312.02 hektar lagi di bawah 62 kelompok pekebun kecil persendirian atau Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOCs) kendalian MPOB.

"Ini bermakna sebanyak 8.21 peratus daripada 1,287,958 hektar kawasan tanaman pekebun kecil tersusun telah memperoleh sijil MSPO selain 1.26 peratus daripada 979,758 kawasan hektar tanaman pekebun kecil persendirian," katanya

Teresa berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Kebangsaan Pekebun Kecil Sawit 2018 di sini hari ini. Persidangan yang dihadiri kira-kira 500 pekebun kecil kelapa sawit berkenaan turut dihadiri  Pengerusi MPOB Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

Beliau bagaimanapun berkata, pencapaian pensijilan MSPO masih kurang memuaskan kerana sehingga Julai 2018, hanya 2,613.25 hektar atau 1.2 peratus daripada 221,148.49 hektar kawasan tanaman pekebun kecil sawit di negeri itu yang memperoleh pensijilan berkenaan.

Oleh itu, beliau berkata, MPOB  telah menubuhkan Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) untuk membantu pekebun kecil persendirian mendapatkan pensijilan MSPO manakala bagi pekebun kecil tersusun, bantuan disediakan melalui agensi persekutuan dan negeri masing-masing.

Katanya, SPOC juga diwujudkan bagi menggalakkan Amalan Pertanian Baik dan bertujuan menyatukan pekebun kecil untuk manfaat bersama.

"Kos pelaksanaan pensijilan MSPO bagi pekebun kecil persendirian ditanggung oleh kerajaan menerusi insentif sebanyak RM135 sehektar," katanya.

Beliau berkata, selain agensi pekebun kecil tersusun seperti FELDA, FELCRA serta SLDB, pekebun kecil juga boleh mendapatkan khidmat nasihat berkaitan pensijilan MSPO daripada persatuan-persatuan pekebun kecil seperti NASH (Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil), EMPA (East Malaysian Planters Association) dan DOPPA (Sarawak Dayak Oil Planters Association).

Sementara itu, Teresa berkata, kementerian itu telah melaksanakan pelbagai program untuk memperkasa pekebun kecil bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran dan pendapatan, termasuk menempatkan pegawai MPOB di seluruh negara bagi menyediakan khidmat nasihat penanaman sawit secara percuma kepada pekebun kecil dan menyalurkan pelbagai bantuan kerajaan.

Selain itu katanya, kerajaan juga memperkenal Skim Insentif Integrasi Tanaman dengan Sawit (ITa) dan Skim Integrasi Ternakan dengan Sawit (ITe) supaya pekebun kecil dapat mengoptimumkan penggunaan tanah serta mengurangkan kebergantungan terhadap hasil sawit, sekali gus melahirkan usahawan tani daripada kalangan pekebun kecil.

Katanya, inisiatif lain yang dilaksanakan kerajaan untuk membantu pekebun kecil, termasuk memperkenal teknologi dan mekanisasi seperti penggunaan Mesin Penuai Buah Sawit Bermotor (CANTAS) yang dibangunkan MPOB sehingga menghasilkan peningkatan produktiviti penuaian melebihi 100 peratus kepada 8.7 tan sehari berbanding 3.6 tan sehari secara kaedah manual.

"Kementerian bersama MPOB juga menggalakkan kerjasama dalam kalangan pekebun kecil untuk meningkatkan produktiviti hasil sawit melalui penubuhan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM). Sehingga Jun 2018, terdapat 50 KPSM di seluruh Malaysia dengan sasaran 65 KPSM lagi ditubuhkan menjelang 2020," katanya.

Pada majlis itu, Teresa  turut menyampaikan Anugerah Industri Sawit Malaysia 2017/2018 kepada 12 pemenang mengikut kategori masing-masing. Selain sijil, pemenang juga menerima bantuan satu tan baja. - Bernama