Katanya, kementeriannya akan mengambil pendekatan untuk mengurangkan program 'baik pulih' memandangkan aspirasi rakyat yang sebenar ialah memerlukan rumah bina baharu.

"Inilah pandangan saya, pandangan rasmi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah bahawa rumah bina baharu itu lebih utama," katanya kepada pemberita selepas melawat Mini Estet Sejahtera (Mesej) penaman getah Kaingaran, Tambunan di sini, hari ini.

Ewon berkata, kerajaan bagaimanapun tidak mengabaikan rakyat yang memerlukan baik pulih rumah PPRT sedia ada  namun program seumpama itu akan dikurangkan.

"Kita perlu memberi kesaksamaan kepada rakyat dan inilah pendekatan yang terbaik," katanya.

Ewon juga berkata kementeriannya akan memberi tumpuan kepada penyediaan PPRT di daerah-daerah luar bandar bagi membolehkan lebih ramai rakyat yang berdaftar dengan e-Kasih berpeluang memiliki rumah sendiri.

Katanya, kementeriannya telah megemukakan permohonan sebanyak 3,000 unit rumah PPRT kepada kerajaan persekutuan namun kelulusannya tertakluk kepada belanjawan negara 2019.

Mengenai lawatannya ke Mesej Kaingaran, Ewon berkata seramai 33 orang peserta yang dipilih daripada senarai e-Kasih di seluruh daerah Tambunan sudah dibenarkan memulakan kerja di situ.

Mesej penanaman getah itu melibatkan keluasan kira-kira 121.4 hektar yang dilengkapi rumah, kemudahan elektrik, air, dewan serta kawasan bercucuk tanam dan dijangka mulai memberikan hasil kepada peserta menjelang hujung tahun ini.

Mengenai Mesej di seluruh Sabah,  Ewon berkata sebahagian daripada 52 lokasi program itu masih dalam peringkat pembangunan dan penyaringan peserta manakala yang lain seperti Mesej di Keningau pesertanya mula menerima dividen. - Bernama