Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata secara keseluruhannya, pasukan keselamatan itu telah bersedia termasuk dari segi peralatan dan latihan untuk menghadapi pilihan raya.

Beliau berkata, selain pusat mengundi, pihaknya juga akan menempatkan anggota di bilik gerakan dan beberapa lokasi lain yang sesuai.

"PDRM akan menggunakan kekuatan pegawai dan anggotanya secara maksimum bagi memastikan kelancaran PRU-14 dan mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Penggunaan kita (PDRM) paling tinggi adalah pada hari mengundi, namun, kita juga tidak menjangkakan apa-apa masalah pada hari penamaan calon dan tempoh berkempen di mana PDRM telah menjalankan latihan sewajar," katanya kepada pemberita pada lawatan di syarikat Dalac Marine Engineering (amp) Services Sdn Bhd, di sini hari ini.

Zulkifli berkata, PDRM juga akan menggunakan 5,000 anggota Pasukan Sukarelawan Polis, namun, mereka tidak bertugas di pusat mengundi sebaliknya bertugas di balai polis menggantikan anggota yang keluar menjaga pusat mengundi.

Beliau turut memaklumkan pusingan kedua latih amal PDRM menjelang PRU-14 akan dijalankan awal bulan depan.

"Saya percaya dengan adanya latih amal kedua ini, kita dapat menentukan PDRM lebih mantap menangani  apa juga situasi. Kita juga dalam proses menentukan pegawai dan anggota yang belum menerima latihan untuk mereka menjalani latihan secukupnya," katanya.

Katanya Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga sedang membantu menguruskan perolehan peralatan yang akan digunakan untuk menjalankan tugasan semasa PRU-14. - Bernama