Beliau berkata jumlah itu bagaimana pun menyaksikan penurunan sebanyak 10 kes berbanding 641 kes pada tahun 2016 dan 666 kes, 2015.

"Sepanjang tahun 2017 sejumlah 35,212 pesakit yang mempunyai tanda dan gejala Tibi telah disaring di Negeri Sembilan. Hasil daripada saringan tersebut, didapati seramai 152 pesakit dikesan positif Tibi melalui ujian kahak dan x-ray dada," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Negeri Sembilan, di Dewan Perdana Tampin, di sini.

Veerapan berkata, kesedaran awal mengenai tanda-tanda awal penyakit Tibi dikalangan masyarakat amat penting bagi membantu mencegah penularan wabak itu.

"Pelbagai program pendidikan kesihatan mengenai penyakit Tibi telah dilaksanakan secara berterusan melalui penyebaran poster-poster dan risalah kepada semua fasiliti kesihatan.

"Kempen mengenai penyakit Tibi akan terus diperhebatkan supaya maklumat mengenai penyakit ini dapat dihayati dan difahami oleh segenap lapisan masyarakat," katanya. - Bernama