Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, ini kerana syarikat bukan Islam sedar akan kepentingan memiliki pensijilan halal yang boleh membawa produk mereka jauh dalam industri selain produk mereka bukan sahaja diterima secara meluas dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa.

"Sebaliknya industri Bumiputera pula masih banyak lagi yang belum memohon untuk memiliki sijil halal daripada kami. Ini yang saya musykil kenapa mereka tidak berbuat demikian," katanya dalam ucapannya di Halfest Jakim 2019 edisi Ke-8 yang berlangsung dari 4 hingga 8 September di Pusat Pameran Mines (MIECC), Seri Kembangan dekat sini.

Mujahid berkata, dengan persijilan halal Jakim itu, dapat dipastikan sesuatu produk tersebut bukan sahaja menggunakan bahan halal tetapi juga bersih tidak kira ia dikeluarkan syarikat milik Muslim atau bukan Muslim.

Katanya, syarikat-syarikat milik Bumiputera dan Muslim yang belum mendapat pensijilan halal bagi produk atau perkhidmatan mereka digesa untuk memohon perakuan itu daripada Jakim.

"Dengan adanya pensijilan halal itu, syarikat Bumiputera juga dapat bersaing dengan syarikat multinasional, bukan sahaja dalam negara bahkan di luar. Ia juga memberi akses yang meluas dan produk itu sendiri diyakini serta selamat digunakan," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Mujahid juga berkata, Islam tidak mengajar umatnya untuk memilih produk berdasarkan bangsa dan kaum tertentu tetapi menekankan kepentingan membeli barangan halal serta bersih.

"Kita perlu fokus kepada dua teras iaitu Yakini Halal Malaysia dan Buy Malaysian Product First. Kita jadikan halal sebagai tanda aras kita.

"Sebagai Muslim, apabila saya ke luar negara, saya mencari makanan halal. Saya akan tanya halal atau tidak, saya tidak tanya bangsa apa," katanya. - Bernama