Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa JAIM, Datuk Rahimin Bani berkata, kesemua individu terlibat berusia antara 15 hingga 70 tahun.

Katanya, kesalahan berkhalwat mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 199 kes, diikuti judi (89), hamil tanpa nikah (76), bersubahat persetubuhan haram (46), perbuatan atau pakaian tidak sopan (39), kutipan derma tanpa kebenaran (26) dan lelaki berlagak seperti perempuan (1).

"Sehingga bulan lalu, sebanyak 476 kes direkodkan membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Enakmen Syariah Melaka.

"Kesemua individu yang terlibat disiasat di bawah enakmen sama serta diwajibkan menghadiri kursus kesedaran dan penghayatan Islam sebelum didakwa di Mahkamah Syariah," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada kursus tersebut di Masjid Al-Azim di Bukit Palah di sini.

Katanya, sehingga kini seramai 314 pelaku telah menghadiri kursus tersebut yang diadakan sekali setiap bulan bermula pukul 8 pagi hingga 1 petang itu. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, kursus itu dilakukan bagi membimbing pelaku-pelaku kesalahan syariah untuk tidak mengulangi kesilapan dan persiapan sebelum didakwa di Mahkamah Syariah. 

"Pada majlis ini kita berkongsi bermacam maklumat meliputi ilmu agama, perundangan serta motivasi diri. 

"Peserta akan diberi pendedahan tentang hak-hak mereka sebagai orang disyaki dan bantuan bimbingan termasuk melibatkan hal-hal perkahwinan bagi mereka yang melakukan kesalahan hamil tanpa bernikah," katanya. 

Rahimin berkata, kursus itu juga merupakan inisiatif pihak JAIM  dalam mengekang kesalahan berulang membabitkan individu sama, selain memberikan kesedaran kepada si pelaku. - K! ONLINE