Dalam serbuan selama sembilan jam bermula pukul 1 petang itu, kesemua individu yang ditahan berusia antara 22 hingga 39 tahun terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita tempatan serta dua lelaki warga Mynmar. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nor Yhazid Idris berkata, hasil risikan selama sebulan, serbuan dilakukan di empat premis masing-masing satu di Taman Sri Krubong, Taman Cheng Perdana dan dua di Taman Teknologi Cheng.
 
Beliau berkata, minuman keras yang dirampas itu dipercayai diseludup masuk ke negara ini untuk pasaran tempatan. 

"Dalam serbuan itu, kita merampas sebanyak 4,366 botol arak pelbagai jenis antaranya Mc Dowells, Louis Martin, Lychee, Seven Seas, Wlikueur Master Blend, A Class Whisky, Kapak, Thai Bull, Jameson, Johnnie Walker Gold Label Reserve, Macallan Fine Oak, Royal Club 99, Whale Point, Yallel, Noblesse, Bennington WK, Dewarts White Label dan Jack Daniels "7".

"Semua arak yang dirampas bernilai RM500,000. Bagaimanapun, kita belum dapat sahkan sama ada arak-arak rampasan ini beracun atau sebaliknya," kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Mohd. Nor Yhazid berkata, polis turut merampas pelbagai jenis kenderaan selain sejumlah cop duti stem kastam palsu dan beberapa peralatan serta cecair yang digunakan untuk memproses minuman tiruan bernilai keseluruhan mencecah RM1.5 juta. 

"Kenderaan yang dirampas adalah sebuah lori jenis Mitshubishi Canter,  tiga buah kereta jenis Honda CRV, Mercedes-Benz dan Naza Suria serta satu pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton," katanya.

Katanya, kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang tanpa kelulusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda 20 kali ganda jumlah cukai kastam atau RM500,000 mengikut jumlah yang lebih tinggi atau dipenjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali. - K! ONLINE