Pengerusi Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, kawasan terjejas ialah Kampung Chokro, Kampung Shaari dan Kampung Kolam Air, kesemuanya di Simpang Renggam.

"Setakat ini, seramai 179 orang daripada 41 keluarga ditempatkan di  Balai Raya Kampung Chokro; 127 mangsa daripada 32 keluarga di Masjid As-Sobirin, Kampung Shaari dan 42 mangsa daripada sembilan keluarga di Dewan Kampung Kolam Air," katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Menurut beliau, ketiga-tiga pusat pemindahan itu dibuka secara berperingkat bermula 9 malam tadi hingga 1 pagi ini.

Berdasarkan pemantauan, air Sungai Kampung Chokro yang didapati melimpah dan memasuki rumah penduduk sebelum ini, sudah pun semakin surut setakat 8 pagi ini.

Bagaimanapun, paras air di Sungai Benut pula telah melebihi aras berbahaya, tambahnya. - Bernama