Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari berkata, pihaknya menerima lebih 30 aduan akibat kejadian ribut itu yang melibatkan Kampung Nelayan Kuala Kurau, Kampung Batu 14, Simpang Tiga Kuala Kurau, Parit Tok Hin dan Jalan Pantai.

Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, terdapat beberapa rumah telah mengalami kerosakan serius di bahagian bumbung dengan kerugian dianggarkan  antara RM5,000 hingga RM10,000.

"Manakala beberapa buah lagi rumah kerosakan yang dialami mangsa masih dalam siasatan. Namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu," katanya ketika melawat mangsa ribut di sekitar kawasan yang terlibat, di sini hari ini.

Abdul Yunus yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri  Kuala Kurau berkata beberapa agensi seperti Pejabat Daerah dan Tanah Kerian diminta untuk mengambil tindakan segera dalam memberikan bantuan awal kepada semua mangsa ribut itu.

Sementara itu, seorang mangsa, Zurizam Mat Yatim , 41, dari Kampung Nelayan Kuala Kurau berkata pada mulanya, dia melihat kejadian ombak kuat dan angin kencang berbentuk puting beliung sebelum ia menghentam pelantar ikan nelayan sampai runtuh. 

"Saya ketika itu berada di dalam rumah dan menyaksikan kejadian itu dari tingkap rumah yang terletak bersebelahan dengan pelantar ikan milik penduduk di sini.

"Bila lihat ombak dan angin kuat meruntuhkan pelantar ikan itu, saya sangkakan tsunami akan berlaku lagi dan selepas ribut mula berhenti, saya terkejut mendapati sangkar ikan milik ahli keluarga yang terletak berhampiran rumahnya turut musnah menyebabkan lebih 150 ekor ikan siakap yang diternak terlepas," katanya.

Zurizam berkata ini merupakan kejadian kali kesembilan berlaku di kawasan itu namun bersyukur kerana kediamannya tidak mengalami sebarang kerosakan serius namun anggota keluarganya menanggung kerugian kerana ikan yang diternak itu sepatutnya dipasarkan kepada pelanggan pada hujung September ini.

Seorang lagi mangsa, Liza Nordin, 30, berkata ibunya, Che Tom Saari ,70, yang tinggal seorang diri di rumah di kampung yang sama telah berlari keluar apabila melihat ribut menerbangkan hampir keseluruhan bumbung utama rumahnya.

"Ibu ketika itu sedang tidur namun dikejutkan dengan bunyi deruan angin yang kuat sebelum bumbung rumah diterbangkan angin. Namun saya bersyukur semuanya selamat," katanya. - Bernama