Kejadian kira- kira pukul 4 pagi itu melibatkan Kampung Kuala Melaka, Kuala Teriang, Lubuk Setol, Teluk Yu, Lubuk Setol dan Kubang Badak.

Beberapa buah rumah di Kampung Teluk Yu dan Kampung Temonyong pula dilanda banjir kilat.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Persiaran Putra, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Faizal Che Me berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.33 pagi tadi dan tiba di lokasi kejadian 23 minit kemudian.

"Sebanyak 12 buah rumah mengalami kerosakan pada bahagian bumbung akibat diterbangkan angin kuat manakala 12 lagi rosak akibat dihempap pokok dalam kejadian ribut itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata beliau, sebanyak 10 kereta dan dua motosikal rosak akibat dihempap pokok tumbang dan bumbung runtuh.

"Tiada mangsa yang dilaporkan terlibat dalam kejadian ini," ujarnya.

Tambahnya, seramai 23 anggota dari BBP Persiaran Putra dan BBP Langkawi terlibat dalam operasi menyelamat dan memotong pokok yang tumbang.

"Pihak Tenaga Nasional Berhad turut dihubungi bagi memutuskan bekalan elektrik berikutan banyak tiang elektrik yang tumbang," katanya. - K! ONLINE