Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad Datuk Seri Azmi Abdul Aziz berkata hasil maklum balas orang awam termasuk di media sosial menunjukkan mereka berpuas hati dengan perkhidmatan pengangkutan awam itu dalam melancarkan pergerakan mereka.

"Apa yang penting ialah melihat peningkatan trend positif dalam penggunaannya dan ia juga bukti bahawa pelaburan kerajaan dalam pengangkutan  awam memberikan manfaat kepada rakyat," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, Azmi dan Pengerusi Prasarana Tan Sri Khalid Abu Bakar mengiringi Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkenan meninjau jaringan pengangkutan awam berasaskan rel termasuk MRT, Transit Aliran Ringan (LRT) dan monorel.

Turut berkenan berangkat Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Jajaran pertama yang dilaksanakan untuk projek MRT Lembah Klang adalah jajaran MRT Sungai Buloh-Kajang dengan jarak 51km.

Fasa pertama MRT Sungai Buloh-Kajang merangkumi laluan Sungai Buloh-Semantan mula beroperasi pada 16 Disember 2016 manakala fasa  kedua melibatkan laluan Semantan-Kajang beroperasi sejak 17 Julai lepas. - Bernama