Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, operasi tersebut diadakan selepas Program 3+1 yang memerlukan PATI menyerah diri dan pulang secara sukarela tamat pada 30 Ogos lalu.

"Kami memberi peluang kepada golongan PATI supaya menyerah diri secara sukarela menerusi program ini (program 3+1) sebelum tindakan tegas diambil.

"Direkodkan, dalam tempoh antara bulan Januari hingga Ogos lalu pihak JIM telah menahan seramai 29,117 PATI menerusi 9,527 operasi yang dijalankan di seluruh negara," katanya pada sidang akhbar selepas Ops Mega di sini awal pagi tadi.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman.

Tambah Mustafar, selain PATI pihak JIM turut bertindak menahan lebih 1,000 majikan yang didapati menggaji dan cuba melindungi pekerja asing.

"Kita tidak menghalang pekerja asing mencari rezeki di negara ini tapi mereka perlu masuk melalui saluran dan cara yang sah," tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, seramai 58 PATI termasuk wanita dan kanak-kanak ditahan dalam Ops Mega yang dijalankan di sekitar kawasan Kota Kinabalu dan Sepanggar bermula pada pukul 1 hingga 4 pagi. - K! ONLINE