Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, menerusi sesi intervensi lanjutan itu, murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah akan menetapkan tarikh untuk mereka berhenti merokok secara sukarela.

"Data pada tahun lepas menunjukkan sebanyak 86.3 peratus perokok semasa di sekolah rendah dan 84 peratus di sekolah menengah telah menjalani sesi intervensi ini.

"Justeru menyedari betapa besarnya impak program ini pada tahun lepas, Kotak telah dipilih sebagai salah satu daripada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi Pengarah Bahagian Penjagaan Kesihatan Pergigian, Pengarah Kesihatan Negeri dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pergigian) di seluruh negara," katanya pada Majlis Perasmian Konvensyen Kotak 2019 di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd. Shafiq Abdullah pada majlis yang dirasmikan Exco Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Low Chee Leong. - Bernama