Negeri di utara India itu merupakan antara negeri termiskin di negara tersebut dan diduduki hampir 10 juta penduduk, juga mengalami musim panas yang kedua terlama direkodkan dan telah mengorbankan 78 nyawa.

Bihar bergelut dengan penularan penyakit Acute Encephalitis Syndrome (AES) sejak awal bulan ini.

Seramai 85 orang kanak-kanak telah meninggal dunia di hospital terbesar negeri tersebut, Kolej Perubatan dan Hospital Sri Krishna di bandar Muzaffarpur dan 18 fasiliti swasta lain, menurut pihak berkuasa perbandaran sebagaimana dilaporkan Press Trust of India.

Kebanyakan mangsa menghadapi kehilangan glukosa dalam darah, kata pegawai kesihatan, Ashok Kumar Singh kepada AFP.

Penyakit sedemikian berlaku secara tahunan sejak 1995 dengan melibatkan daerah sama ketika musim panas, terutamanya pada musim buah laici.

Beberapa tahun dahulu, pengkaji Amerika Syarikat berkata, penyakit otak itu berkemungkinan berkaitan dengan bahan toksik yang ditemui pada buah tersebut.

Mereka juga memberitahu, lebih banyak kajian perlu dilakukan untuk mengenal pasti punca penyakit itu yang boleh menyebabkan sawan, tahap kesihatan mental yang berubah-ubah dan kematian iaitu pada kadar lebih daripada satu pertiga kes. - AFP