Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau terpaksa pulang awal ke Malaysia bagi menghadiri satu mesyuarat penting Majlis Presiden Pakatan Harapan di ibu negara pada Sabtu.

"Saya mempunyai satu pertemuan dan mesyuarat dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad iaitu (mesyuarat) Majlis Presiden Pakatan Harapan. Saya sebagai Presiden Pakatan Harapan mesti hadir," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan rasmi beliau ke United Kingdom lewat Khamis. 

Kesemua program yang dijadualkan untuk Timbalan Perdana Menteri pada hari terakhir lawatannya ke negara ini dibatalkan.

Wan Azizah kini adalah Pengerusi Majlis Penasihat PKR, selepas tidak mempertahankan jawatan Presiden parti dalam Pemilihan PKR 2018, setelah memimpin parti itu sejak 1998. 

Wan Azizah tiba di London pada Rabu bagi lawatan rasmi sulungnya ke United Kingdom selepas dilantik dalam barisan Kabinet Malaysia pada 21 Mei berikutan kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14). - Bernama