Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri Mohd Nurkhuzaini Abd Rahman berkata perkara itu diputuskan oleh jawatan kuasa ad-hoc yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang bermesyuarat pagi tadi. 

Katanya, keputusan terbaharu itu agak sukar diputuskan tetapi terpaksa dilakukan kerana ia menyalahi undang-undang iaitu Akta Peraturan Lalu Lintas 1959 yang melarang peniaga berniaga di atas, tepi dan bahu jalan.

"Selain itu ia juga bercanggah dengan Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan undang-undang kecil penjaja yang tidak membenarkan sebarang aktiviti jualan dan pembelian di persimpangan jalan.

"Jadi saya berharap semua peniaga akan akur dan menghentikan semua aktiviti jualan di kawasan yang dinyatakan (persimpangan lampu isyarat) kerana ia menyalahi undang-undang dan juga berkait dengan isu keselamatan," katanya pada sidang media di Wisma Darul Iman.

Mengulas lanjut, Nurkhuzaini berkata peniaga yang gagal mematuhi arahan tersebut akan berdepan hukuman kompaun sebanyak RM250 dan barang-barang jualan mereka juga akan turut dirampas.

Beliau berkata bermula awal tahun sehingga semalam, sebanyak 40 kompaun telah dikeluarkan dan 205 balang jeruk telah dirampas daripada penjaja di persimpangan jalan kerana kesalahan menjaja tanpa lesen dan isu kebersihan.

"Bagi menguatkuasakan undang-undang tersebut, satu operasi secara bersepadu akan dijalankan oleh PBT dan polis di semua daerah kecuali di Setiu yang mana akan ditentukan kelak.

"Kita juga minta PBT untuk tampal notis di tempat-tempat yang sesuai sebagai pemakluman kepada larangan tersebut," katanya yang menerima banyak aduan daripada orang ramai berkaitan isu keselamatan peniaga di persimpangan lampu isyarat. - Bernama

Nurkhuzaini berkata 'trend' penjaja yang berniaga di persimpangan lampu isyarat di negeri ini telah bermula sejak awal 2018 dan semakin popular kebelakangan ini.

Ia mencetuskan pelbagai reaksi daripada masyarakat setempat termasuk yang menyokong dan ada juga membantah kerana dikatakan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya dan menjejaskan imej negeri. - Bernama