Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Harris Idham Rashid berkata, kementerian telah memeriksa sebanyak 11 buah kilang sehingga hari ini dengan selebihnya dijangka dapat diselesaikan pada Khamis ini. 

Katanya, pemeriksaan itu penting dalam tujuan pembaharuan lesen permit lulus (AP) untuk mengimport sisa plastik.

"Penilian dilakukan menerusi 18 syarat baharu AP itu terutama plastik mesti bersih dan memproses 30 plastik tempatan. 

"Kesemua penilaian akan dilakukan oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) sebelum diserahkan kepada Menteri, Zuraida Kamaruddin untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui selepas melawat kilang kitar semula di sini hari ini. 

Menurut beliau, berdasarkan lawatan pemeriksaan itu mendapati pengilang berpuas hati dengan cara tindakan dilakukan kementerian dalam mengendalikan isu pemberian AP. 

Ujarnya, pihaknya akan bergerak pantas dalam aspek pemantauan ini agar segala pemprosesan sisa plastik tidak mencemarkan alam sekitar. 

"Tidak kira pengilang sedia ada atau baharu, perlu lalui proses dan mekanisma yang sama iaitu mematuhi 18 syarat baharu AP atau berdepan tindakan pembekuan lesen," katanya. - K! ONLINE