Norlizma Ramli, 37, berkata, dia tidak sangka urusan tuntutan pencen penakat suaminya selesai dengan begitu cepat sekali gus dapat mengurangkan bebannya yang kini menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai itu berkata, dia telah dihubungi pihak Perkeso pada petang kelmarin iaitu hari yang sama arwah suaminya, Ab. Salam @ Azri Abdullah, 39, terlibat dalam kemalangan motosikal di Pasir Hor dan maut serta merta.

“Saya tidak sangka sungguh dan tidak tahu pun (bantuan) begini ada, arwah suami semasa hidupnya adalah seorang yang bekerja bertungkus lumus untuk cari duit bagi keluarga kami, dia baru sahaja bekerja dua bulan di tempat baharu dan sebahagian gaji terakhirnya belum dibayar majikan.

“Kami tidak ada simpanan, jadi pencen Perkeso ini sangat membantu kami anak beranak menampung hidup selepas ini,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Aman, Telipot di sini hari ini.

Terdahulu, Norlizma menerima kunjungan Timbalan Pengarah Perkeso negeri, Wan Izani Wan Isa dan rombongan Skuad Perkeso Prihatin negeri.

Allahyarham Ab. Salam @ Azri yang bekerja sebagai penyelia kedai memproses ayam organik di Salor maut selepas motosikal yang ditunggang bergesel dengan sebuah kereta sebelum terbabas di Pasir Hor pada pukul 7.30 pagi kelmarin.

Sementara itu, Wan Izani berkata, Norlizma bakal menerima Pencen Penakat arwah suaminya secara bulanan sebanyak RM820.83 untuk sepanjang hidupnya selain bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000.

Beliau berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada laporan media mengenai kemalangan maut itu yang membolehkan Perkeso membuat semakan dan memproses tuntutan dengan segera.

“Arwah adalah seorang pencarum Perkeso dari semasa dia bekerja dengan majikan lama dahulu.

“Ketiga-tiga anak arwah berusia 4, 10 dan 15 tahun akan turut menerima bahagian mereka daripada syer penakat tersebut sehingga berumur 12 tahun atau tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda pertama jika melanjutkan pengajian tinggi,” katanya. - K! ONLINE