Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, setakat ini sebanyak 508 rumah, 35 sekolah dan sebuah institusi pengajian tinggi terkesan akibat kejadian tersebut. 

"Senarai keseluruhan kerosakan akan diperoleh minggu depan untuk membantu rumah-rumah mangsa yang terlibat. 

"Kita akan selaraskan dengan semua agensi seperti Lembaga Zakat Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan badan-badan lain dan diikuti kerajaan negeri," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis sambutan Hari Raya AidilAdha di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di sini hari ini. 

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan sebahagian penduduk sekitar Sabak Bernam berdepan dugaan apabila bumbung rumah mereka diterbangkan angin kencang akibat ribut sehari sebelum Hari Raya Aidiladha. 

Antara kawasan terjejas teruk adalah Mukim Bagan Nakhoda Omar, Sabak, Pancang Bedena, Sungai Panjang dan Pasir Panjang. - K! ONLINE