Tiga laporan berkenaan adalah berhubung penstrukturan semula Klinik 1Malaysia, kes gangguan seksual melibatkan Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) dan cadangan kenaikan kadar caj perundingan pengamal perubatan dan doktor bagi perkhidmatan di klinik dan hospital swasta.

Dr. Dzulkefly berkata, berdasarkan cadangan, sebanyak 33 daripada 346 Klinik 1Malaysia di seluruh negara akan ditutup secara berperingkat selepas isu berkenaan dibawa ke Kabinet.

"Lebihan Klinik 1Malaysia berkenaan akan diubah suai menjadi Klinik Komuniti dengan beberapa kelainan baharu termasuklah menugaskan pegawai perubatan, ahli farmasi dan jururawat di setiap klinik," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Minggu Promosi Kesihatan Pergigian Kebangsaan (Minggu PKPK) 2018, di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau menegaskan penutupan 33 klinik berkenaan tidak akan menjejaskan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada penduduk sekitarnya kerana terdapat fasiliti kesihatan KKM yang berdekatan (Hospital & Klinik Kesihatan).

Berhubung kes gangguan seksual, Dr. Dzulkefly berkata, KKM sedang menunggu laporan akhir daripada Jawatankuasa Siasatan Bebas yang menyiasat kes itu untuk dibentangkan ke Kabinet minggu depan.

Beliau berkata, cadangan dalam laporan itu akan dipertimbangkan bagi memastikan isu itu dapat dikawal dan tidak akan berulang lagi.

Bagi cadangan kenaikan kadar caj perundingan di hospital dan klinik swasta, Dr. Dzulkefly berkata, rumusan berhubung cadangan itu akan dibentangkan kepada Kabinet sebelum sebarang keputusan dibuat.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr. Azman Abu Bakar sebelum ini berkata, kertas cadangan semakan caj yuran konsultasi yang akan diserahkan kepada Menteri Kesihatan mencadangkan kenaikan kepada antara RM35 dan RM125 daripada RM10 dan RM35.

Kenaikan itu dipersetujui pada 'Sesi Town Hall: Konsultasi Pihak Berkepentingan Bagi Cadangan Semakan Caj Pengamal Am' yang berlangsung di Kementerian Kesihatan di Putrajaya, baru-baru ini. - Bernama