Ketua Polis Daerah Jelebu Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata kesemua lapan suspek termasuk empat anggota tentera serta seorang polis, ditahan kira-kira pukul 3 pagi semalam selepas dikepung oleh penduduk kampung yang curiga dengan perbuatan mereka.

"Kesemua suspek yang berusia 29 hingga 54 tahun telah ditahan reman bermula semalam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian awal pagi semalam, suspek-suspek disyaki telah menembak dua ekor lembu dan empat kambing milik penduduk kampung dengan menggunakan senapang patah serta pistol, sebelum melapah haiwan tersebut dan memasukkannya ke dalam dua buah kenderaan jenis Toyota Hilux untuk dibawa keluar.

Semasa ditahan, pihak polis turut menemui senjata api, beberapa butir peluru hidup, kapak dan pisau di dalam kenderaan suspek.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960. - Bernama