Dalam operasi menyelamat kira-kira pukul 8.15 pagi itu, kesemua yang diselamatkan masing-masing berusia enam bulan, setahun, tiga, enam, sembilan, 12, 13 dan 16 tahun.

Pengarah JKM Melaka, Burhanuddin Bachik berkata, kanak-kanak itu didakwa dijaga oleh bapa mereka, namun lelaki tersebut bertindak melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Katanya, kelapan-lapan beradik itu ditemui tinggal di dalam keadaan daif dan tidak terurus sebelum dibawa ke Hospital Melaka untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Kanak-kanak ini mendakwa dijaga oleh bapa yang berusia 42 tahun selepas ibu mereka dihantar ke pusat pemulihan dadah dalam satu serbuan yang diadakan oleh pihak berkuasa pada Februari lalu.

“Bagaimanapun kita dapati, mereka ini tidak dijaga dengan baik dan diabaikan oleh lelaki tersebut, justeru kita telah menyelamatkan kesemua mereka untuk ditempatkan di rumah sementara kanak-kanak mengikut Seksyen 25 Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Burhanuddin berkata, dua beradik berusia 13 dan 16 tahun akan ditempatkan di Rumah Budak Lelaki Durian Daun, manakala tiga lagi yang berusia enam, sembilan dan 12 tahun di Rumah Kanak-Kanak (RKK) Kuantan, Pahang.

“Tiga beradik lagi berumur tiga dan satu tahun serta enam bulan akan ditempatkan di RKK Mini, Ulu Tiram Johor,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri, Mohd. Nasrom Yusof berkata, pemeriksaan dokumentasi mendapati tiada pendaftaran dilakukan oleh bapa kanak-kanak berkenaan untuk tiga anaknya berusia enam bulan, dua dan tiga tahun.

“Hari ini ibunya dibawa ke JPN dari pusat serenti bagi proses dokumentasi untuk dikeluarkan sijil lahir kepada ketiga-tiga anaknya,” katanya.

DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA