Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi itu, mangsa, Mohd. Akmal Hakim Abd Razak, 27, mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke Hospital Slim River sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh untuk mendapatkan rawatan.

Beliau yang merupakan anggota di Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim itu bagaimanapun meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital tersebut pada pukul 6.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 itu sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di IPD Muallim.

“Tiba di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa bertembung dengan sebuah kereta jenis Toyota Vios.

“Akibat pertembungan secara berhadapan itu, mangsa mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke Hospital Slim River manakala pemandu Vios pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Menurut Wan Azharuddin, mangsa kemudian dibawa ke HRPB untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengetaui punca kemalangan tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Jenazah allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Trolak Selatan di sini petang ini.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga anak yang berusia antara 11 bulan hingga 5 tahun. - K! ONLINE