Melibatkan jarak larian sejauh lima kilometer (km), 10 km dan 21 km, edisi pertama Runkawi Half Marathon telah berjaya menarik kira-kira 2,000 penyertaan termasuk 200 peserta dari luar negara.

Diadakan pada sebelah petang, peserta akan menikmati keindahan matahari terbenam di sepanjang laluan pantai selain turut melalui kawasan sawah padi yang amat sinonim dengan negeri Kedah.

Penaung Runkawi Half Marathon 2018, Tunku Laksamana Kedah Datuk Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin berkata, pihaknya berharap aktiviti tersebut akan menjadi acara sukan tahunan ikonik khusus buat Langkawi.

"Inisiatif sukan seperti ini merupakan perkara penting sebagai salah satu usaha mempromosi Langkawi sebagai destinasi pelancongan sukan serta riadah di rantau ini dan yang paling utama, ia melibatkan masyarakat di sini," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Selain Runkawi Half Marathon, Langkawi terkenal dengan penganjuran acara-acara sukan terkenal termasuk Ironman, Oceanman, Larian Tuba Trail, Perlumbaan F3 Powerboat dan Le Tour de Langkawi. - K! ONLINE