Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, kedua-dua bot berkenaan ditahan selepas didapati melakukan kesalahan melanggar syarat sah lesen iaitu tidak diusahakan sendiri pemilik bot selain menggaji pekerja asing tanpa surat kebenaran.

Menurutnya, dalam Ops Jaksa pertama, Maritim Malaysia berjaya mengesan sebuah bot di kedudukan tujuh batu nautika timur Tanjung Penyabung, Mersing dekat sini pada pukul 6 petang Sabtu lalu.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan empat awak-awak dan seorang tekong warga tempatan berusia antara 25 hingga 41 tahun.

"Pada operasi kedua pula, pihak kami berjaya menahan sebuah lagi bot nelayan tempatan yang dikendalikan empat awak-awak warganegara tempatan dan seorang warganegara asing berusia antara 27 hingga 44 tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Haris berkata, bot berkenaan ditahan di kedudukan lebih kurang 6.3 Batu Nautika Utara Tanjung Kempit, Endau dekat sini pada pukul 6.00 petang semalam.

Beliau berkata, kedua-dua bot serta nelayan terbabit yang ditahan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Pos Tanjung Gemok bagi tujuan siasatan.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 atas kesalahan melanggar syarat sah lesen,"katanya. - K! ONLINE