Lan atau Mohd Razlan Mohamed Yusof, berkata, awalnya dia berasa terkejut dan bimbang setelah mengetahui anaknya mengalami sumbing ketika kandungan isteri, Nur Sheila Hassim berusia lima bulan.

“Ketika itu saya dan isteri sentiasa memikirkan tentang tahap kesihatan anak kerana bimbang berlaku sebarang komplikasi sehingga memberi kesan pada bahagian lelangit dan hidup.

“Namun, alhamdulillah. Doktor mengesahkan bayi saya hanya mengalami sumbing pada bahagian bibir dan disarankan untuk membuat pembedahan,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! tadi.

Dalam pada itu, penyanyi berusia 33 tahun berkenaan juga menjelaskan dia akan membawa anaknya untuk mendapatkan rawatan susulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini dalam tempoh masa terdekat.

“Berdasarkan nasihat doktor, berat bayi sekurang-kurangnya perlu mencecah lima kilogram (kg) sebelum dibenarkan untuk melakukan sebarang pembedahan.

“Memandangkan dia baharu sahaja dilahirkan pada Sabtu lalu, justeru kami perlu menunggu sekitar sebulan sebelum melakukan proses seterusnya.

“Kos pembedahan juga mungkin melibatkan belasan ribu ringgi tetapi ia bergantung kepada tahap kesihatan dan sumbing,” jelas Lan.

Lan dan Sheila berkahwin pada 5 Disember 2009 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Nur Amna Qaleesya, 8, Nur Amna Qeesyara, 6, dan Muhammad Akid Qassyaff, 4.

Dalam perkembangan lain, Lan kini sedang sibuk mempersiapkan single baharunya yang dijadualkan menemui peminat pada penghujung Mac depan. - K! ONLINE