Tidak cukup dengan perbualan secara langsung dalam kumpulan, masing-masing turut sibuk melayan grup-grup dalam laman sosial bagi membincangkan isu sama.

Begitulah hebatnya bahang PRU-14 sehingga Najib menggelarkan pilihan raya kali ini sebagai ‘Bapa Segala Pilihan Raya’. Selaras dengan perkembangan teknologi maklumat, laman sosial dan blog-blog yang muncul bagai cendawan selepas hujan kini dijangka mempengaruhi keputusan PRU-14.

Rakyat Malaysia dilihat sudah tidak lagi menjadikan akhbar-akhbar atau bahan bacaan bercetak sebagai rujukan. Semua golongan termasuk warga emas terlalu bergantung kepada maklumat yang diperoleh menerusi telefon pintar masing-masing.

Pada era ini telefon pintar adalah segala-segalanya. Daripada membeli-belah, membuat pinjaman bank dan mendapat maklumat, semuanya akan dilakukan menerusi telefon pintar. Permohonan kerja dan kemasukan ke pusat-pusat pengajian tinggi juga perlu dibuat secara online.

Jadi akhirnya aplikasi teknologi telefon pintar tidak boleh lagi disekat malah harus diteruskan. Masalahnya tidak semua maklumat atau aplikasi di medan sosial itu hanya membawa kebaikan. Sudah banyak bukti perkembangan teknologi maklumat yang pantas itu juga secara tidak langsung merosakkan penggemarnya sendiri.

Sebagai contoh, penggodaman sistem perbankan, penyebaran maklumat palsu, bercerai menerusi WhatsApp dan terlalu banyak bahan lucah yang boleh diakses oleh semua golongan. Sehingga sekarang belum ada satu undang-undang atau sistem untuk menapis atau menyekat maklumat-maklumat tidak berasas dan lucah yang bertebaran di internet.

Undang-Undang Antiberita Tidak Benar yang diluluskan kerajaan pada Mac lalu cuma berkisar tentang be­rita palsu yang telah disiarkan tetapi masalahnya belum ada kaedah yang membolehkan pihak berkuasa me­mintasnya. Begitulah berkuasanya maklumat alam maya pada ketika ini.

Berbalik kepada PRU-14, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menetapkan tarikh membuang undi jatuh pada 9 Mei depan. Sebelum tiba hari tersebut, kira-kira 14.6 juta rakyat Malaysia yang mendaftar untuk me­ngundi bakal memilih kerajaan yang diyakininya. Tidak sampai lima minit selepas pengumuman tarikh tersebut, muncul pelbagai komen mengenai pemilihan hari Rabu sebagai hari membuang undi.

Komen-komen tersebut ada yang lucu dan tidak kurang juga yang menyakitkan hati. Senang bicara adalah mustahil untuk SPR mampu memuaskan hati semua pihak. Justeru itu, apa sahaja komen yang dilemparkan, semuanya boleh diabaikan.

Seiring dengan perkembangan teknologi pesat, calon-calon yang bakal bertanding turut menggunakan laman sosial bagi menarik pengundi. Diyakini semakin hampir tarikh mengundi semakin banyak ‘rahsia’ tidak disangka-sangka akan dibongkar sama ada oleh pihak pembangkang atau kerajaan. Semua tindakan tersebut adalah salah satu taktik untuk memenangi pilihan raya.

Sebagai pengundi, memang mudah untuk memangkah mana-mana calon yang disukai tetapi adalah teramat sengsara sekiranya pilihan tersebut kelak bakal menyusahkan satu negara untuk tempoh lima tahun.

Maka sebagai rakyat Malaysia sama-samalah kita menunaikan tanggungjawab dengan keluar mengundi. Pilihlah kerajaan yang benar-benar diyakini mampu membina negara ke arah kesejahteraan.