Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook memaklumkan, penutupan jalan dan lencongan akan dilakukan bagi semua kenderaan di 21 laluan yang terlibat.

Antara laluan yang terlibat ialah di lampu isyarat Penjara Taiping menghala ke Dataran Warisan yang ditutup sepenuhnya, Jalan Sultan Mansor, Jalan Kota, Persimpangan Jalan Tokong dan Jalan Kota serta Persimpangan Jalan Pasar dan Jalan Manecksha.

Penutupan jalan-jalan tersebut akan bermula pada pukul 6.30 pagi hingga 1 petang.

Turut terlibat, laluan di Jalan Lim Teong Chye, Jalan Lim Tee Hooi, Jalan Halaman Pasar dan Jalan Chung Thye Pin, Jalan Idris dan lampu isyarat Hospital Taiping yang menghala ke Dataran Warisan.

Perbarisan akan bermula di Padang Esplanade melalui Jalan Taming Sari (di hadapan pagar Kem 9 Renjer) melalui IPD Taiping dan Sekolah Kebangsaan King Edward hingga ke Jalan Yusof sebelum melalui pentas hormat Diraja di Dataran Warisan dan berakhir di Padang Esplanade.

Bagi kenderaan yang hendak ke bandar Taiping pula diminta mengikut tanda arahan disediakan manakala anggota polis akan ditugaskan pada setiap persimpangan yang ditutup bagi melancarkan lalu lintas.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan yang mungkin berlaku akibat penutupan jalan tersebut.

Bagi sebarang maklumat orang ramai juga boleh menghubungi pihak IPD Taiping di talian 05-8291 222 /1242 atau Polis Trafik Taiping di talian 05-8291 231. - K! ONLINE