Sayap parti tersebut turut berikrar untuk turun gelanggang dengan penuh kekuatan di bawah kepimpinan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memastikan misi ‘mesti menang perang’ tercapai.

Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil ketika berucap di hadapan 973 perwakilan berkata, sayap itu akan menerajui pasukan lebih besar untuk PRU-14 dengan membawa pasukan Jalinan Rakyat Plus (JR Plus) sebagai jentera bersepadu pilihan raya.

“Wanita berikrar, untuk PRU-14 nanti, bersama Pemuda dan Puteri, dengan gandingan parti komponen BN termasuk mereka yang berkongsi aspirasi Perdana Menteri, kami akan jadi pencari undi, penentu undi, perayu undi, pengekal undi, hatta pemecah undi di mana yang perlu,” kata­nya dalam ucapan dasar bertajuk Perang Mesti Menang pada Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO 2017 di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.

Shahrizat menambah, seluruh ahli UMNO perlu memberitahu seluruh rakyat pelbagai kaum di peringkat akar umbi bahawa BN merupakan parti yang mampu meneruskan agenda semua kaum di negara ini sejak berdekad lamanya.

“Ini masa untuk berperang. Perang yang kita mesti menang,” katanya penuh semangat.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam ucapan dasar bertajuk Nostalgia Dongeng, Harapan Palsu, Transformasi Sebenar menegaskan, UMNO merupakan parti yang prihatin kepada rakyat dan bijak menguruskan negara.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, kriteria itu menjadikan UMNO sebagai parti yang paling layak untuk menerajui negara dan menghadapi apa juga cabaran yang melanda.

“Maka atas kesedaran itu, biar­lah perhimpunan kali ini kita tumpukan kepada satu persoalan sahaja. Satu pangkah yang bakal menentukan nasib mereka hari ini dan masa depan anak dan cucu mereka nanti. Membuat keputusan amat sukar kali ini kerana landskap politik telah banyak berubah.

“Justeru, ramai yang masih di atas pagar, memerhati dan mencongak-congak dan hanya akan membuat pilihan pada saat akhir nanti,” katanya di hadapan 970 perwakilan.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengingatkan seluruh ahli pergerakan itu agar te­rus meneguhkan janji dan wala’ terhadap pemimpin dan parti bagi memenangkan BN.

Dalam ucapan dasarnya bertajuk Mentaliti Negaraku, Memperkasa Wanita ke Arah Kecemerlangan, beliau berkata, sayap parti itu telah mengaktifkan Unit Khas Pilihan Raya sejak awal tahun ini.

“Kumpulan JR Plus giat menyusuri akar umbi di seluruh negara. Pusat Panggilan telah diaktifkan dan kita sentiasa bersiap-siaga mendekati pengundi muda. Saya menyeru kepada Puteri, luaskan kuasamu! Temui pengundi-pengundi, tidak kiralah yang terselit di tengah-tengah kesibukan kota atau terlantar di suatu sudut nun terceruk di desa-desa. Bersama sahabat Pu­teri BN, kita semua akan sentiasa sederap selangkah,” katanya.