Dalam operasi yang dilakukan serentak di kawasan perangi dadah habis-habisan pada pukul 8 malam itu telah dianggotai seramai 16 pegawai dan anggota dari AADK daerah Brickfields dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di tiga lokasi berbeza di sekitar kawasan terbabit.

Difahamkan, suspek yang juga bekerja sebagai pengawal keselamatan berusia 31 tahun itu turut memberi alasan kepada anggota AADK bahawa sudah tiga hari tidak tidur dan belum makan bagi mengelak dari ditahan namun tindakan tersebut ternyata sia-sia.

Pengarah AADK Kuala Lumpur Tengku Hanizar Tengku Awang berkata, pihaknya juga terpaksa menghubungi pasukan perubatan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk memeriksa keadaan suspek.

“Bagaimanapun, sebaik pemeriksaan dilakukan mendapati suspek tidak mengalami sebarang kesakitan dan lakonan tersebut hanya bertujuan meminta simpati pihak berkuasa dari menahannya.

“Siasatan awal mendapati, suspek telah pergi ke kawasan PPR berkenaan untuk membeli dadah dan ujian saringan awal air kencing terhadapnya mendapati dia positif dadah jenis Meth,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Mengulas lanjut, keseluruhan operasi telah berjaya menahan 12 lagi lelaki berusia dalam lingkungan 14 hingga 50 tahun yang didapati positif pelbagai jenis dadah.

“Kesemua yang ditahan didapati datang ke kawasan terbabit untuk membeli dadah dengan harga jualan dipercayai sekitar RM20 ke atas untuk satu paket kecil.

“Tokan dadah ini juga bertindak bijak dengan meletakkan kerusi dan meja di aras tertentu bagi menunjukkan aktiviti penjualan dadah sedang dijalankan selain memudahkan pelanggan melihat dari jauh,” jelasnya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih pada pengadu yang menggunakan talian hotline AADK dan berharap makin ramai yang akan memberikan maklumat sehingga masalah penyalahgunaan dadah ini dapat dibasmi.

Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Ibu Pejabat AADK Brickfields untuk tindakan lanjut.